13 Komplikasi Yang Sering Dihadapi Oleh Ibu Mengandung Ketika Hamil | Wanita mana yang tak gembira apabila doktor mengesahkan dirinya kini berbadan dua. Ada yang menunggu khabar gembira ni selama 3 tahun, 4 tahun dan ada juga yang lebih dari itu. Rezeki masing-masing kan. Namun begitu, di sebalik perkhabaran gebira tersebut, bakal ibu perlu maklum dengan komplikasi yang sering berlaku ketika hamil. Ada sesetengah wanita hamil tidak mengalami sebarang masalah sepanjang kehamilan. Namun, bagi ibu-ibu hamil terutama mereka yang berisiko tinggi semasa hamil perlu ambil tahu dengan komplikasi yang mungkin dialami oleh mereka dan jika diabaikan ianya begitu berbahaya kepada si ibu dan si anak yang berada di dalam kandungan.
13 Jenis komplikasi kehamilan yang sering dialami oleh ibu mengandung,
Setiap wanita hamil mempunyai risiko untuk berdepan sebarang komplikasi semasa mengandung. Berikut antara jenis komplikasi yang boleh berlaku pada si ibu:
Keguguran
Kehilangan kandungan boleh berlaku pada 20 minggu yang pertama kehamilan. Kebanyakan berlaku pada trimester pertama sehingga 13 minggu pertama tempoh kehamilan. Kewujudan kromosom tidak normal atau masalah berkaitan fizikal sistem pembiakan wanita boleh menjadi punca keguguran apabila telur tidak dapat disenyawakan dengan betul. Tanda keguguran paling biasa terjadi adalah pendarahan faraj tidak normal.
Kehamilan ektopik
Berlaku apabila implantasi telur di luar rahim, di tiub fallopio. Kesannya janin tidak dapat membesar dengan baik. Kehamilan ektopik boleh menyebabkan kesakitan teruk dan kerosakan sistem pembiakan wanita serta berpotensi mengancam nyawa. Apabila janin terus membesar, tiub fallopio boleh pecah dan mengakibatkan pendarahan dalaman yang teruk (hemorrhage).
Diabetes gestasi
Antara komplikasi kehamilan paling biasa berlaku adalah kencing manis semasa mengandung. Selalunya ibu-ibu sebut GDM. Majoriti wanita yang mengalami diabetes gestasi dapat melahirkan bayi sihat, tetapi diabetes yang dialami meningkatkan risiko untuk bayi mempunyai saiz badan lebih besar.
Risiko kesihatan lain kepada bayi:
- Demam kuning
- Sindrom gangguan pernafasan
- Tahap mineral rendah dalam darah
- Hipoglikemia (ini yang dialami oleh Lulu semasa awal kelahirannya)
Masalah serviks
Tumbesaran bayi memberikan tekanan kepada serviks wanita mengandung. Dalam kes jarang berlaku, tekanan berlebihan mengakibatkan serviks tidak dapat mengendalikannya. Kesannya serviks terbuka sebelum bayi bersedia untuk dilahirkan. Keadaan ini dipanggil serviks tidak kompeten dan biasanya mak buyung tidak mengalami sebarang simptom.
Penyakit plasenta
Gangguan berlaku apabila plasenta atau sebahagiannya terpisah daripada rahim sebelum bayi dilahirkan. Akibatnya janin tidak dapat menerima nutrien dan oksigen dengan betul. Keadaan ini paling kerap berlaku pada trimester ketiga kehamilan. Gejala paling biasa seperti pendarahan faraj, kontraksi dan sakit perut.
Previa plasenta
Komplikasi kehamilan yang jarang berlaku. Ia melibatkan keadaan plasenta terletak di bahagian bawah uterus, menutup sebahagian atau keseluruhan serviks. Berlaku pada trimester kedua atau ketiga dan boleh mengakibatkan pendarahan yang serius. Andai tidak dirawat, pendarahan tersebut boleh mengakibatkan kematian.
Masalah kuantiti air ketuban
Cecair amniotik atau air ketuban berfungsi sebagai perlindungan kepada janin. Namun jika wanita mengandung mempunyai cecair amniotik sedikit, oligohidramnios atau terlalu banyak, polihidramnios, ia boleh mengganggu fungsi normal rahim. Jika kurang, ia boleh menjejaskan tumbesaran otot, anggota badan, paru-paru dan sistem pencernaan bayi. Dalam kes jarang berlaku, air ketuban yang berlebihan pula boleh mengakibatkan:
- Pemecahan pramatang membran ambiotik
- Gangguan plasenta
- Kelahiran pramatang
- Pendarahan selepas bersalin (postpartum hemorrhage)
Pre-eklampsia
Keadaan komplikasi kehamilan melibatkan tekanan darah tinggi dan tahap protein tinggi dalam air kencing. Biasanya berkembang selepas tempoh 20 minggu kehamilan. Namun ada risiko untuk berlaku lebih awal atau selepas kehamilan. Dalam kes kritikal, wanita mengandung dengan masalah preeklampsia boleh alami gejala:
- Sakit kepala teruk
- Penglihatan kabur
- Sakit perut bahagian atas
- Loya
- Muntah
- Pening
- Kuantiti air kencing berkurangan
- Kenaikan berat badan mendadak
- Bengkak pada muka dan tangan
Dapatkan pemeriksaan doktor segera jika mengalami simptom sakit kepala, penglihatan kabur atau sakit abdomen yang teruk.
Kelahiran pramatang
Berlaku selepas minggu ke-20 atau sebelum minggu ke-37 kehamilan. Kebanyakan kes kelahiran pramatang berlaku secara spontan. Namun ada juga proses kelahiran yang berlaku disebabkan komplikasi kepada ibu atau kandungan.
Trombosis vena
Merupakan gumpalan darah yang biasa berkembang pada urat kaki. Wanita mengandung terdedah kepada keadaan ini sepanjang kehamilan dan selepas bersalin. Keadaan ini berlaku apabila tumbesaran rahim menyukarkan darah pada bahagian bawah badan untuk kembali ke jantung. Ia jarang terjadi, namun masalah trombosis urat dalam adalah keadaan berbahaya jika ia berlaku.
Molar kehamilan (Hamil Anggur)
Kehamilan anggur atau kehamilan molar adalah terma dalam kategori Penyakit Kandungan Trofoblast (“Gestetational Trophoblastic Disease”). Trofoblast adalah lapisan sel luar tisu gabungan sperma dan telur ovum. Kehamilan molar adalah kondisi yang terhasil apabila gabungan sperma dan ovum tidak menjadi seperti yang seharusnya. Ianya boleh diklasifikasikan sebagai “molar penuh” ataupun “molar separa”. Hasil penggabungan yang tidak menjadi ini menyebabkan penggandaan sel-sel zigot yang rosak dan seterusnya memberikan gambaran seolah-olah seperti anggur yang tumbuh dalam rahim.
Sekiranya terjadi, wanita mengandung dengan situasi ini memerlukan pelebaran (dilation) dan curettage (D&C) segera. Rawatan lanjut yang teliti juga diperlukan kerana tisu molar boleh tumbuh semula dan berkembang menjadi barah
Sindrom HELLP
Adalah hemolisis, peningkatan enzim hati dan jumlah platelet rendah (hemolysis, elevated liver enzymes, and low platelet count), keadaan disebabkan kelainan hati dan darah. Ia boleh terjadi sendiri atau berkaitan preeklampsia. Simptom lain yang boleh berlaku:
- Loya
- Sakit gastrousus
- Sakit kepala
- Kegatalan teruk
- wanita mengandung
HELLP memerlukan proses kelahiran segera kerana terdapat risiko kesan kesihatan serius kepada wanita mengandung, seperti kerosakan kekal sistem saraf, paru-paru dan ginjal.
Eklampsia
Terjadi apabila preeklampsia berkembang dan menyerang sistem saraf pusat, kesannya terjadi kekejangan. Ia komplikasi kehamilan yang serius dan jika tidak dirawat boleh menyebabkan maut kepada ibu serta kandungan. Dengan penjagaan pranatal yang betul, preeklampsia dapat dikawal dan dicegah daripada menjadi eklampsia.
Tipu la kalau kata sepanjang mengandung kinah takde sebarang komplikasi. Ada sebenarnya, dalam 13 komplikasi disenaraikan, terdapat 2 komplikasi yang berlaku pada kinah semasa mengandungkan dua beradik ni iaitu Diabetis Gestasi dan Pre-eklampsia. Bila ada dua komplikasi seperti ni, automatik kita akan dirujuk kepada Pakar O&G di hospital tempat kita akan melahirkan.
Hampir setiap bulan kinah berulang ke hospital, dan 2 minggu sekali pergi check up di klinik ibu anak. Penat tu memang penat, tapi nak buat macam mana kan, itu yang perlu kita hadapi sepanjang kehamilan. Jika korang rasa ada yang tidak normal pada diri sepanjang kehamilan, dapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor dengan segera, jangan bertangguh dan risikokan baby dalam kandungan tu.
Rujukan dari hellodoktor.com
3 Comments
Pernah tengok youtuber US kena kehamilan ektopik ni. Kesian dia menangis2 masa kena gugurkan tu sebab diorang dah happy masa dapat tahu pregnant tu.
ReplyDeleteterima kasih atas perkongsian
ReplyDeletebertambah ilmu
menarik baca dan lagi kita rasa bangga dan kagum dengan ibu kita yang melahirkan kita :)
Terima kasih kongsi info yang berguna . At least dapat tahu juga seba sedikit
ReplyDelete